Pakar pada Selasa mendapati kod genetik novel koronavirus (2019-nCoV) yang melanda dunia ketika ini hampir sama dengan kod pada Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).

Dapatan terbaharu ini, menurut pakar virus, memudahkan langkah penyembuhan menggunakan vaksin dan rawatan sedia ada.

Menurut portal berita Business Insider, fakta itu merupakan dapatan daripada kajian yang diterbitkan jurnal Nature yang mengkaji secara terperinci genom virus Wuhan itu yang ketika ini sudah menjangkiti lebih 20,000 manusia dan mengorbankan lebih 400 nyawa.

Dalam kes 2019-nCoV dan SARS, kelawar telah dikenal pasti sebagai hos asal virus itu.

Oleh kerana SARS dan 2019-nCoV hampir serupa, saintis yang terlibat dalam kajian itu berkata secara hipotesisnya kedua-duanya boleh melalui proses rawatan yang sama.

“Secara kesimpulannya, 2019-nCoV adalah versi SARS yang merebak dengan lebih pantas, tetapi mengakibatkan impak yang seakan sama,” kata Ian Jones, ahli virologi dari Universiti Reading, United Kingdom.

Tambah Jones, oleh kerana kedua-dua virus itu mempunyai 80 peratus kod genetik yang sama, serta kedua-duanya berasal dari kelawar, ia memberi bayangan bahawa rawatan dan vaksin yang dicipta untuk SARS, boleh digunakan untuk 2019-nCoV.

Menurut laporan itu lagi, kebanyakan koronavirus adalah penyakit zoonosis, yang membawa maksud ia boleh berjangkit dari haiwan ke manusia.

Selain itu, pakar mendapati terdapat dua lagi cara lain boleh digunakan bagi merawat pesakit koronavirus.

“Pesakit yang dijangkiti 2019-nCoV akan menghasilkan antibodi tersendiri - iaitu sejenis protein oleh sistem imunisasi kita untuk melawan bakteria dan virus - dan ini mempunyai potensi untuk meneutralisasikan koronavirus itu.

“Selain itu, antibodi kuda juga boleh digunakan untuk melawan 2019-nCoV, kerana ia pernah digunakan untuk merawat SARS sebelum ini,” kata mereka lagi.