China pada Isnin mengesahkan kematian ketiga dan hampir 140 kes baharu jangkitan koronavirus 'misteri' yang dipercayai merebak di beberapa bahagian lain negara itu, termasuk Beijing.

Suruhanjaya Kesihatan memaklumkan perkembangan kes tersebut tanpa memberikan butiran mengenai individu ketiga yang meninggal dunia itu.

Pihak berkuasa kesihatan di daerah Daxing Beijing berkata, dua individu yang memasuki wilayah Wuhan telah dirawat kerana jangkitan pneumonia yang dikaitkan dengan virus baharu itu serta berada dalam keadaan stabil.

"Di Guangdong, seorang lelaki Shenzen berusia 66 tahun dikuarantin sejak 11 Januari lalu selepas menghidap demam dan menunjukkan gejala lain setelah melawat saudara-maranya di Wuhan.

"Secara keseluruhan, sejumlah 201 pesakit kini telah didiagnosis dengan virus di China manakala 170 orang masih dirawat di hospital termasuk sembilan berada dalam keadaan kritikal," tulis kenyataan Suruhanjaya Kesihatan yang dipetik Al-Jazeera.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan penularan jangkitan apabila berjuta rakyatnya akan memulakan perjalanan balik kampung dan ziarah sempena Tahun Baru Cina minggu ini.

Pakar perubatan, dalam pada itu, masih bergelut untuk memahami strain koronavirus baharu ini yang dikaitkan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang pernah membunuh 800 mangsa pada awal tahun 2002.

Koronavirus biasanya menyebabkan jangkitan saluran pernafasan yang ringan dan sederhana seperti selesema biasa, namun boleh terjejas sehingga menyebabkan pneumonia atau bronchitis.

Di Wuhan sahaja, 136 kes baharu disahkan pada hujung minggu lalu.

Wuhan didiami seramai 11 juta penduduk dan berfungsi sebagai hab pengangkutan utama termasuk ketika cuti Tahun Baru Cina yang mana ratusan juta rakyat China akan memulakan perjalanan menziarahi keluarga mereka di wilayah lain negara tersebut.

Beberapa kes juga telah dilaporkan di Jepun, Thailand dan Singapura serta di lapangan terbang rantau ini, manakala di Amerika Syarikat (AS), peningkatan pemeriksaan kesihatan juga telah dikuatkuasakan.

Pada 16 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata situasi jangkitan influenza di Malaysia tiada kaitan dengan kejadian wabak virus korona baharu (novel coronavirus) di Wuhan, China.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, buat masa ini tiada kes yang disyaki 'novel coronavirus' dilaporkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun katanya, KKM akan terus mengukuhkan pemantauan dan kesiapsagaan bagi menghadapi potensi penularan wabak 'novel coronavirus' yang dilaporkan di Wuhan, China itu.