ANGGOTA tentera Korea Utara dan Korea Selatan dilapor berbalas tembakan di sekitar kawasan pos pengawal yang terletak di Zon Bebas Tentera (Demilitarized Zone) atau DMZ pada awal pagi Ahad.

Ia sekali gus mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua negara sehari selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong-un membuat penampilan diri di khalayak umum.

Menurut Ketua Pegawai Gabungan Korea Selatan, beberapa das tembakan dilancarkan dari Korea Utara pada jam 7.41 pagi waktu tempatan ke arah pos pengawal di Korea Selatan yang terletak di sempadan kedua-dua negara itu.

Malah, tambahnya, Korea Selatan juga membalas serangan tersebut dengan melepaskan dua tembakan ke arah republik itu.

Bagaimanapun, menurut agensi berita Yonhap, tiada kecederaan dilaporkan dan kedua-dua pihak sedang berbincang menerusi talian ketenteraan berhubung insiden tersebut.

Terdahulu, beberapa spekulasi mengenai kesihatan dan keberadaan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menjadi tular.

Ia termasuk dakwaan bahawa republik itu sedang mencari pengganti bagi menerajui negara itu selepas Kim dilaporkan ‘senyap’ sejak beberapa minggu yang lalu.

Namun, spekulasi itu terjawab selepas Kim dilaporkan hadir merasmikan sebuah kilang baja di negara itu pada Sabtu.