Liga Profesional Bola Lisut Korea Selatan (KBO) dibuka secara rasmi pada Selasa selepas hanya tiga kes postif COVID-19 dilaporkan, angka terendah dalam hampir tiga bulalu lalu.

Liga KBO memulakan musim dengan perlawanan antara SK Wyverns dan Hanwha Eagles yang dijalankan secara tertutup di Incheon.

Organisasi Baseball Korea mengumumkan terlebih dahulu bahawa pihaknya akan memulakan liga tanpa kehadiran penonton dan peminat sukan itu, dan akan membuka akses kepada umum secara beransur-ansur bergantung kepada situasi COVID-19.

Perlawanan antara SK Wyverns dan Hanwha Eagles dijalankan secara tertutup di Munhak Baseball Stadium, Incheon. Foto: REUTERS

Perlawanan berlangsung sepi tanpa sorakan dan teriakan penyokong selain gambar-gambar diletakkan di tempat penonton bagi menggantikan ketiadaan peminat di stadium berkenaan.

Susulan kes jangkitan yang semakin menurun, Korea Selatan akan mula membuka semula sekolah secara berperingkat bermula dengan sekolah menengah pada minggu depan.

Korea Selatan menyaksikan lebih daripada 10,000 orang dijangkiti dengan lebih daripada 250 kes kematian.