SEBUAH kereta api kargo musnah dalam kebakaran selepas tergelincir dari landasan di jambatan Tempe Town Lake di Tempe, pinggir bandar Phoenix, Arizona, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi waktu tempatan itu, sekurang-kurangnya 10 kenderaan yang dimuat dalam kereta api tersebut turut musnah.

Jurucakap Landasan Keretapi Union Pacific, Tim McMahan berkata, akibat daripada kemalangan itu, sebahagian jambatan itu runtuh.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan, cuma seorang kru yang dirawat kerana terhidu asap tebal," katanya yang dipetik AP.

Sementara itu, McMahan berkata, daripada kenderaan yang dimuat dalam kargo itu, dua mengandungi sikloheksanon manakala selebihnya mengandungi bahan getah.

"Tiada kebocoran gas dilaporkan setakat ini dan hasil siasatan mendapati tiada kenderaan tangki terlibat dalam kebakaran itu," ujarnya.

Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan.