Kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad dipertanggungjawab atas serangan kimia di Khan Sheikhoun, iaitu sebuah bandar yang menjadi kubu golongan penentang, yang merekodkan kematian berpuluh-puluh orang pada April lalu.

Reuters melaporkan, semua laporan sudah disampaikan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

“Pemerintahan Republik Arab Syria bertanggungjawab atas pelepasan gas sarin di Khan Sheikhoun pada 4 April 2017,” jelas laporan daripada PBB dan Mekanisme Siasatan Bersama Organisasi Pengharaman Senjata Kimia.

Berikutan serangan tersebut, Amerika Syarikat (AS) membalas serangan dengan melancarkan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Syria, yang dipercayai menjadi lokasi punca senjata kimia itu.

“Sudah berkali-kali, kita menerima pengesahan mengenai penggunaan senjata kimia oleh rejim Bashar,” ujar duta PBB dari AS, Nikki Haley.

Laporan itu juga menyebut, Daish dipersalahkan atas penggunaan bahan sulfur di bandar Umm Hawsh pada September 2016.

Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata penggunaan senjata kimia yang berterusan sangat membimbangkan.

“Jika penggunaannya, walaupun telah diharamkan oleh komuniti antarabangsa, tidak dihentikan sekarang, maka ia akan menjadi ikutan pihak lain,” ujarnya.

Laporan tersebut turut menyalahkan tentera kerajaan Syria dalam tiga serangan gas klorin pada tahun 2014 dan 2015.

Syria pernah bersetuju untuk memusnahkan senjata kimia yang dimilikinya pada 2013 di bawah perjanjian yang dikelola Rusia dan AS. Kerajaan Syria bagaimanapun berkali-kali menafikan mereka menggunakan senjata kimia di negara itu sepanjang lebih enam tahun perang saudara.