Aktivis sejarah mengkritik tindakan kerajaan India yang cuba menswastakan aset warisan sejarah India selepas melancarkan sebuah skim yang membenarkan mana-mana syarikat 'mengawal selia' pelbagai monumen ikonik negara itu sebagai

AFP melaporkan, ahli politik dari pihak pembangkang menyelar tindakan kerajaan naungan Perdana Menteri Narenda Modi yang dilihat seperti menyewakan monumen bersejarah mereka melalui pelan Adopt a Heritage yang menyaksikan 95 tempat bersejarah telah diambil alih oleh entiti swasta.

Sabtu lalu, Menteri Pelancongan India mengumumkan kontrak dengan syarikat konglomerat Dalmia Bharat selama lima tahun bernilai 250 juta rupee (RM14.5 juta) untuk menyewakan Kubu Merah (Red Fort) ikonik dan kubu lain di selatan Andhra Pradesh.

Kubu Merah yang dibina oleh Maharaja Mughal Shah Jahan pada tahun 1639 itu merupakan lokasi Perdana Menteri India membuat ucapan Hari Kemerdekaan setiap tahun, di samping tersenarai sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Kerajaan India bagaimanapun menegaskan kontrak yang diberikan menerusi pelan itu akan meliputi pembangunan, operasi baik pulih dan penyelenggaraan di sekitar Kubu Merah.

Dalam perjanjian itu, syarikat Dalmia Bharat dibenarkan untuk mengiklankan, menjual tiket atau mendapatkan wang dari hasil jualan di kawasan itu dengan pemantauan pihak kerajaan.

Pegawai kerajaan India bagaimanapun menegaskan syarikat berkenaan tidak akan mengambil keuntungan daripada skim berkenaan.

Tambahnya, segala hasil perlu digunakan untuk menambah baik taraf monumen.

Parti Kongress pembangkang bagaimanapun menyelar tindakan itu yang dilihat akan lebih banyak menggunakan dana dari kerajaan.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee sempat mengkritik di laman sosialnya: “Tidak ada data yang jelas menunjukkan angka yang bakal dibelanjakan oleh syarikat korporat itu. Ini kerana syarikat korporat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan, lebih daripada apa yang tertera di dalam kontrak”.

Setakat ini India mempunyai hampir 3,700 monumen bersejarah, temasuk 31 kawasan yang diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia.