SEORANG juruterbang Transavia Airlines terpaksa membuat keputusan untuk melakukan pendaratan kecemasan, biarpun atas alasan yang sangat remeh.

Ketika dalam penerbangan dari Dubai ke Amsterdam, dua penumpangnya dilaporkan bergaduh besar kerana salah seorangnya tidak berhenti kentut, lapor portal berita New Zealand, Newshub.

Penumpang terbabit, seorang warga emas, dikatakan terus berbuat demikian sekalipun selepas diminta berkali-kali agar berhenti oleh kru dan penumpang.

Pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas di Vienna, yang menyaksikan empat orang penumpang diminta turun.

Salah seorang daripada penumpang terbabit memberitahu portal tersebut, dia tidak faham mengapa dia juga diarahkan keluar.

"Saya duduk di tempat duduk belakang dua penumpang yang bergaduh itu tetapi saya tidak terlibat.

"Tetapi apabila pesawat mendarat di Vienna, tak pasal-pasal saya menjadi mangsa keadaan," kata wanita yang dikenali sebagai Nora Lachhab itu.

Nora juga memaklumkan, cara kru penerbangan mengendalikan situasi itu juga tidak profesional.

"Mereka melakukan provokasi dan mengeruhkan lagi keadaan," cerita Lachhab.

Keempat-empat mereka tidak lagi dibenarkan menggunakan penerbangan berkenaan selepas ini, dan syarikat penerbangan itu juga dilaporkan akan mengenakan caj kos yang terpaksa ditanggung akibat pendaratan kecemasan itu.