MASIH ingatkah pada seorang kanak-kanak pelarian Syria, Alan Kurdi yang jasadnya ditemui terdampar di pantai berdekatan sebuah resort di Bodrum, Turki, pada 2 September 2015?

Portal berita CBC melaporkan, kisah menyayat hati itu sedang difilemkan, namun projek tersebut difahamkan tidak mendapat izin serta restu keluarganya yang masih tidak dapat memadam rasa pilu dan duka mengenainya.

Ibu saudara Alan, Tima Kurdi, menitiskan air mata apabila ditanya perasannya tentang sebuah filem yang mengangkat kisah anak saudaranya.

"Saya sangat bersedih sekarang ini. Ia tidak boleh diterima sama sekali,” ujar Tima yang ditemui media di kediamannya di Pelabuhan Coquitlam, berdekatan Vancouver, Kanada.

Imej Alan Kurdi yang terdampar di pantai menjadi simbol kisah tragik pelarian antarabangsa. - Reuters

Gambar jasad Alan di pantai tersebut menjadi simbol tragik mengenai krisis pelarian. Anak kecil itu, bersama seorang lagi adik-beradik, dan ibunya, Rehana, semua mati lemas apabila bot angin yang mereka naiki karam di Laut Mediterranean.

Mereka cuma mahu menyelamatkan diri dengan menuju ke Pulau Kos, di Greece.

Tima berkatam tidak ada seorangpun yang terlibat dengan filem itu datang berjumpa keluarganya untuk meminta kebenaran. Dia kali pertama mendengar tentang filem itu menerusi bapa Alan, Abdullah, yang kini menetap di Iraq.

"Dia menelefon saya, dan dia juga menangis. Katanya, dia tidak percaya ada orang sudahpu membuat filem itu. Katanya, dia tidak dapat bayangkan itu anaknya, yang berusia dua tahun dan tidak boleh bercakap. Saya tidak dapat bayangkan dia ‘dihidupkan’ semula,” kata Tima.

Filem itu berjudul Aylan Baby: Sea of Death. Antara pelakonnya adalah aktor Amerika, Steven Seagal, yang kini menjalani penggambaran di Turki, berdekatan dengan lokasi penemuan jasad Alan.

Pengarah filem Omer Sarikaya juga telah memuat naik gambar-gambar produksi dan poster filem di media sosialnya.

"Ini sangat menyakitkan. Sudahlah mereka menggelarnya Aylan, dan bukannya Alan. Mereka katakan dia berusia 3 tahun, dan bukannya 2 tahun. Apa yang mereka tahu tentang keluarga kami untuk membuat filem itu?” luah Tima.

Tahun lalu, sebuah memoir Alan berjudul The Boy on the Beach telah dilancarkan. Tima berkata, keluarganya telah menolak beberapa tawaran untuk kisah itu difilemkan.

"Tidak boleh. Kami belum sedia," katanya.

Bagaimanapun Tima berkata, keluarganya tada kuasa untuk menghalang projek filem itu, namun berharap pengarahnya bertanggungjawab atas kesedihan yang mereka tanggung.

"Saya cuba untuk menghentikan ini dengan suara saya. Ini amat menyakitkan.

"Orang terkenal tidak sepatutnya mengambil kesempatan. Hormatilah keluarga dan ambil tahu kisah sebenar."

Produksi filem itu difahamkan menyedari kegelisahan keluarga Alan, namun tetap mahu meneruskan projek itu kerana mendakwa filem itu adalah tentang keseluruhan masalah pelarian dan bukannya memfokuskan pada Alan.
Tambah wakil produksi itu, sebahagian hasil filem itu aklan digunakan untuk membantu golongan pelarian, dan akan diberikan kepada keluarga Alan.