Rusia menegaskan tidak akan menyokong sebarang usaha mengubah perjanjian nuklear Iran yang ditandatangani pada 2015.

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata sebarang langkah ke arah itu akan merumitkan lagi diplomasi ke atas program senjata nuklear Korea Utara.

Kenyataan Kremlin itu dibuat sehari selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menegaskan mahu mengubah semula perjanjian nuklear dan arahan sekatan ke atas Iran untuk kali terakhir kerana mendakwa terdapat kelemahan yang teruk pada perjanjian tersebut.

"Kami tidak akan terlibat mahupun menyokong usaha Amerika Syarikat ke arah itu.

"Ini kerana, meletakkan arahan sekatan ekonomi ke dalam perjanjian sama sekali tidak akan diterima oleh Iran," jelas lavrov pada sidang media yang diadakan di Moscow pada Isnin.

Rusia menegaskan akan berusaha mengekalkan perjanjian nuklear Iran terbabit dan pada masa sama memberi amaran risiko dialog dengan Pyongyang jika Washington berdegil.

Kerana menurut Lavrov, Pyongyang ketika ini sedang memerhati pelaksanaan dan menilai ketulenan perjanjian nuklear Iran jika mahu bersetuju dengan sebarang syarat di masa hadapan.

"Mereka diberikan janji bahawa sekatan ekonomi akan dibatalkan jika mereka menghentikan program nuklear mereka.

"Tetapi persoalannya sekarang siapa yang mahu mengangkat semula sekatan ekonomi ke atas Pyongyang?" soalnya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Majlis Keselamatan kebangsaan Iran, Ali Shamkhani menyifatkan ugutan yang disuarakan Trump sebagai ketakutan negara itu terhadap Iran.

"Ia jelas bersifat 'Iranophobia' dan mahu memberi lebih tekanan ke atas Tehran agar bersetuju untuk rundingan semula," jelasnya.

Menurut Ali lagi cara ugutan yang dilakukan Trump adalah satu taktik lapuk yang jelas tidak akan memberikan sebarang impak kepada komuniti dunia.