PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengeluarkan ringkasan saintifik tentang Kawasaki atau sindrom keradangan multi-sistem yang terjadi pada kanak-kanak, yang dikaitkan dengan COVID-19.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, penting untuk mendeskripsikan sindrom klinikal ini dengan segera dan berhati-hati agar dapat difahami sebab serta akibatnya, dalam proses membangunkan intervensi rawatan.

"Sejak beberapa minggu ini, laporan dari Eropah dan Amerika Utara telah menggambarkan sebilangan kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan keadaan kerandangan multi-sistem dengan beberapa ciri mirip dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

"Laporan awal membuat hipotesis bahawa sindrom ini mungkin berkaitan dengan COVID-19. Sangat penting untuk mencirikan sindrom klinikal ini segera dan berhati-hati, untuk memahami sebab-akibat dan menerangkan intervensi rawatan.

"Bersama rangkaian klinikal global kami untuk COVID-19, WHO telah membuat definisi awal kes itu dan mengeluarkan borang laporan kes untuk sindrom keradangan multi-sistem pada kanak-kanak ini," katanya pada Jumaat.


Tedros meminta semua doktor seluruh dunia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa negara masing-masing dan WHO agar mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih memahami sindrom ini pada kanak-kanak.

Sementara itu, doktor di Britain, Itali dan Sepanyol telah diminta untuk melihat keadaan keradangan yang jarang berlaku kepada kanak-kanak ini.

Bulan lalu, Persatuan Penjagaan Rapi Pediatrik Britain mengeluarkan amaran kepada para doktor terdapat peningkatan jumlah kanak-kanak dengan keadaan radang multi-sistem yang memerlukan rawatan intensif di seluruh negara.

Kumpulan itu melahirkan kebimbangan berikutan peningkatan salah satu sindrom berkaitan dengan COVID-19 dikesan pada kanak-kanak atau penyakit lain yang tidak dikenal pasti menjadi punca.