INOVASI 'kapal selam' mini yang diusahakan bilionair Elon Musk yang telah berada di Chiang Rai sebagai pilihan bantuan kepada 13 mangsa yang terperangkap di gua Tham Luang boleh digunakan untuk misi yang seumpama dengannya.

Elon Musk, dalam kenyataan di Twitter memberitahu, biarpun 'kapal selam' berkenaan tidak digunakan dalam misi kali ini, pihaknya masih optimis ia mampu berfungsi dengan baik.

"Berdasarkan tinjauan video serta perbincangan dengan pasukan penyelam, pihak jurutera Space X pasti bahawa 'kapal selam' mini mampu melakukan operasi menyelamat dan sedia untuk digunakan pada bila-bila masa," katanya.

Pemilik syarikat SpaceX dan The Boring Company itu percaya selain misi di kawasan berisiko seperti gua, teknologi yang diaplikasikan dalam penciptaan 'kapal selam' mini ini juga sesuai untuk digunakan dalam persekitaran yang berbahaya.


'Ia baik untuk menyelamatkan mangsa dari persekitaran yang berbahaya seperti air, gas toksik mahupun virus kerana mangsa akan tetap berada dalam ekosistem yang kering pada tekanan udara normal sepanjang masa," jelasnya ketika ditanya mengenai masa depan 'kapal selam' mini berkenaan.

Pada Selasa, beberapa portal dan media antarabangsa menyifatkan kehadiran pasukan yang diketuai Elon Musk sebagai 'terlambat' malah teknologi yang ditawarkan bagi tujuan membantu mengeluarkan mangsa yang terkandas di dalam gua Tham Luang sebagai 'tidak praktikal'.

BACA: 'Kapal selam mini dah sampai' - Elon Musk

BACA: 'Kapal selam' mini siap diuji, sedia dihantar dalam masa 17 jam

BACA: Elon Musk bina 'kapal selam' untuk mangsa gua Thailand


Difahamkan pasukan SpaceX tidak mendapat kebenaran daripada Ketua Misi Menyelamat Thailand untuk masuk ke kawasan operasi.