SEBUAH kapal persiaran terpaksa memendekkan perjalanan dan berpatah balik ke Florida selepas 277 penumpang dan anak kapalnya mengalami sakit perut.

Menurut syarikat Royal Caribbean Cruises dalam satu kenyataan, kapal Oasis of the Seas akan kembali ke Pelabuhan Canaveral di Florida pada Sabtu, sehari lebih awal daripada tarikh asal.

"Kesemua penumpang akan menerima bayaran balik sepenuhnya.

"Kami rasa apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk membawa pulang kesemua penumpang dengan segara," kata jurucakap Royal Caribbean, Owen Torres.

Kapal persiaran itu memulakan pelayaran pada Ahad. Ia dijadualkan berlabuh di Haiti, Jamaica dan Mexico sepanjang tujuh hari perjalanan itu.

Balik awal akan memberikan lebih banyak masa untuk kapal dicuci dan disanitasi sebelum memulakan perjalanan berikutnya, kata Torres.

Menurut Reuters, penumpang mula jatuh sakit selepas kapal tersebut berlabuh di Jamaica dan keputusan untuk berpatah balik bermakna mereka tidak jadi singgah di Mexico.

Bagaimanapun, menurut Torres, bilangan yang jatuh sakit tidak sampai 4 peratus dari keseluruhan penumpang di atas kapal itu.

Beliau turut menyatakan pihaknya sedang menunggu laporan kimia bagi menentukan punca kejadian tersebut.