Siapa sangka, ketika rakan-rakan sekelasnya tekun ke sekolah menuntut ilmu setiap hari, Sakshi Garud, sembilan tahun dan jirannya, Siddharth Dhage, 10, adalah antara sekumpulan kecil kanak-kanak yang terpaksa bersusah payah menaiki kereta api sejauh 14 kilometer hanya untuk mendapatkan air bagi kegunaan keluarga.

Mereka merupakan antara keluarga termiskin yang tinggal di sebuah kampung di wilayah barat Maharashtra, dimana sering mengalami musim kemarau.

Hujan monsun India membawa banyak hujan dan banjir di banyak kawasan dalam negara itu, namun hanya 14 peratus hujan sahaja yang turun di wilayah sekitar Mukundwadi.

"Saya tidak suka menghabiskan masa untuk membawa air, tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain," kata Dhage.

"Ini adalah rutin harian saya," itu pula kata sahabatnya, Garud.

Rumah pangsa sempit mereka hanya 200 meter dari stesen keretapi.

“Saya tidak ada masa untuk bermain. Saya perlu mendapatkan air terlebih dahulu,” kata Dhage.

Mereka tidak bersendirian. Jutaan rakyat India tidak mempunyai bekalan air bersih, menurut badan amal yang berpangkalan di United Kingdom, WaterAid.

Lebih 12 peratus rakyat India, atau kira-kira 163 juta orang, tidak mempunyai akses kepada air bersih berhampiran rumah mereka.

Menyedari isu itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi berjanji untuk membelanjakan lebih dari 3.5 trilion rupee (RM21 juta) untuk membawa air paip ke setiap rumah di India menjelang 2024.

Lebih dari 100 keluarga dalam kejiranan Garud dan Dhage tidak mempunyai akses kepada air paip dan kebanyakan mereka terpaksa bergantung kepada pembekal air swasta, yang mengenakan biaya sehingga 3,000 rupee (RM176) untuk tangki sebanyak 5,000 liter pada musim panas.

Tetapi tidak semua mampu mendapatkan bekalan air daripada syarikat swasta.

"Kini, saya tidak ada cukup wang untuk membeli barangan runcit. Saya juga tidak boleh membeli air daripada pembekal swasta, "kata bapa Dhage, Rahul, seorang pekerja pembinaan.

Dhage terpaksa menaiki kereta api setiap hari untuk mendapatkan air. - Foto Reuters

Kanak-kanak itu terpaksa menaiki kereta api setiap hari untuk mengambil air dari bandar berdekatan, Aurangabad.

Mereka juga terpaksa bersesak-sesak di dalam kereta api dengan membawa bekas air yang besar walaupun perbuatan itu tidak dialu-alukan oleh pegawai kereta api.

"Ada yang membantu saya, kadang-kadang ada juga sesetengah orang mengadu kepada pegawai kereta api kerana kami meletakkan bekas air dekat dengan pintu,” kata Dhage.

Katanya, mereka meletakkan bekas itu dekat dengan pintu bagi memudahkan mereka keluar segera dalam kereta api yang penuh itu.

“Pernah berlaku, bekas air yang kami bawa terjatuh daripada pintu kereta api dan ia menjadi huru-hara.

“Kami pulang dengan tangan kosong dan berasa sia-sia," ujarnya.