Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan di negara ini kerana didapati mengambil dadah jenis methamphetamine pada Sabtu.

Memetik laporan portal Antaranews, Agensi Narkotik Indonesia (BNN) menahan juruterbang berusia 34 tahun itu selepas didapati positif dalam penyalahgunaan dadah ketika pemeriksaan rambang di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam.

"Juruterbang itu kemudian ditahan di pejabat BNN di Kepulauan Riau," katanya ketua BNN, Richard Nainggolan.

BNN merampas 1.9 gram methamphetamine serta beberapa peralatan menghisap dadah yang dipercayai milik juruterbang.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan tersebut ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan suspek yang kini dalam siasatan pihak BNN, lapor portal The Star.

"Kami difahamkan mengenai penahanan juruterbang ini di Batam berhubung isu dadah. Siasatan sedang dijalankan," kata jurucakap syarikat penerbangan itu.

Jurucakap syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa syarikat penerbangan tersebut tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas kakitangan yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Mana-mana pekerja yang didapati bersalah akan ditamatkan perkhidmatan selain diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya.