JERMAN mengesahkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah tentera AS di negara itu.

Bagaimanapun, Timbalan Jurucakap Kerajaan Jerman, Ulrike Demmer memberitahu, tiada butiran lanjut dimaklumkan mengenai tarikh pengunduran tentera itu.

“Kerajaan Jerman sudah dimaklumkan dengan Hasrat AS yang mempertimbangkan untuk mengurangkan tenteranya di negara ini. Bagaimanapun keputusan ini belum muktamad,” katanya.

Akhbar The Wall Street Journal minggu lalu melaporkan Trump mempertimbangkan untuk mengundurkan 9,500 tentera daripada keseluruhan 34,500 tentera yang kini berpangkalan di Jerman.

Langkah itu bagaimanapun dianggap bakal menjejaskan pakatan di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Jerman menempatkan bilangan tentera AS paling ramai di Eropah.

Biarpun jumlah bilangan anggota tentera AS berkurangan mendadak sejak perang dingin, negara itu masih mengekalkan hab untuk AS.