Presiden Emmanuel Macron menamakan kakitangan awam kanan Jean Castex sebagai Perdana Menteri baharu Perancis, menggantikan Edouard Philippe yang meletak jawatan pada Jumaat.

Dengan pelantikan itu, Castex menyatakan persediannya untuk menggalas tanggungjawab utamanya iaitu memulihkan ekonomi negara yang terjejas terus sejak dilanda wabak COVID-19.

"Menjadi tugas anda sebagai Perdana Menteri untuk terus berkhidmat kepada Perancis, seperti yang anda telah lakukan selama ini, ia merupakan satu tanggungjawab yang indah.

"Saya terharu untuk menyatakan perkara ini, tetapi, teruskanlah berbakti, dan selamat meneruskan perjalanan," kata Philippe ketika majlis penyerahan tugas.

Sementara itu, Castex berkata: "Hari ini, berdasarkan keputusan presiden, satu tahap baharu mandat telah dibuka.

"Ia ditandai dengan satu konteks baru. Satu konteks yang berat dan sukar. Krisis kesihatan masih belum berakhir. Lihat saja di negara-negara sekeliling kita. Krisis ekonomi dan sosial pula kini tiba," katanya.

AFP melaporkan Pejabat Presiden, dalam satu kenyataan, memberitahu, Macron melantik Castex sebagai perdana menteri dan memberi mandat kepada beliau untuk menubuhkan kerajaan.

Philippe dan kerajaan pimpinannya mengemukakan peletakan jawatan pada Jumaat, tanpa menyatakan alasan, dan keputusan itu diterima oleh Macron.

Namun, rombakan Kabinet sudah lama dijangka selepas Macron berikrar menyelaras langkah baharu sebelum penggalnya yang berbaki dua tahun lagi tamat.

Castex, 55 tahun, merupakan penjawat awam yang mempunyai pengalaman di bawah pentadbiran beberapa kerajaan berbeza, namun belum pernah dilantik ke Kabinet.

Kepimpinannya terserlah baru-baru ini dengan penglibatan beliau dalam pengurusan krisis COVID-19, termasuk proses pembukaan sekolah serta langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka dan hidung ketika menggunakan pengangkutan awam.