Turki pada Isnin memberi amaran kepada Syria agar tidak menghantar tentera ke daerah Afrin untuk membantu militia Kurdish, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan Turki.

"Keputusan kerajaan Syria untuk menghantar pasukan tentera ke Afrin akan memberi lampu hijau kepada tindakan memecah-belahkan Syria, dan bakal mengundang kesan buruk kepada rantau ini," kata Timbalan Perdana Menteri Turki, Bekir Bozdag, kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusolgu, telah memberi amaran bahawa jika tentera Syria memutuskan untuk mempertahan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG), maka "tiada apa dan siapa yang boleh menghalang tentera Turki."

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, telah menghubungi rakan sejawat beliau di Rusia dan Iran, Vladimir Putin dan Hassan Rouhani, untuk memberi amaran berhubung langkah sedemikian.

Ankara menganggap YPG sebagai sekutu Syria dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang telah diharamkan dan merupakan sebuah organisasi pengganas dalam senarai Turki.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat menyokong YPG sebagai sekutunya dalam memerangi militan Daish di Syria.

Turki telah melancarkan satu operasi ketenteraan pada 20 Jan di daerah Afrin untuk mengusir militia YPG dan berjanji akan memperluas operasinya ke Manbij di mana tentera Amerika Syarikat ditempatkan bersama-sama YPG untuk menentang Daish.

-- BERNAMA