Isteri kepada pelakon siri televisyen popular Tarzan, Ron Ely, dilaporkan maut ditikam oleh anaknya sendiri, di kediaman mereka di California, Amerika Syarikat.

Menurut polis, Valerie Lundeen Ely, 62, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada malam Selasa waktu tempatan.

Terdahulu, suspek yang kemudiannya dikenal pasti sebagai anak mangsa, Cameron Ely, 30, ditemui di luar rumah pasangan itu sejurus polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan.

Polis kemudiannya menembak mati Cameron Ely selepas dia didakwa mengeluarkan ancaman kepada pihak polis.

Tanpa memberikan butir penuh kejadian, polis memaklumkan anggota yang menembak mati suspek telah ‘dicutikan’ sementara menunggu siasatan lanjut.

Pelakon siri televisyen Tarzan yang kini berusia 81 tahun itu bagaimanapun tidak dilaporkan cedera dalam insiden itu.

Ron membawa watak Tarzan dari 1966 hingga 1968 yang disiarkan di saluran NBC. - Agensi