IRAN tidak akan menyerahkan kotak hitam Boeing 737-800 milik Ukraine yang terhempas Rabu lalu kepada pengeluar pesawat berkenaan atau Amerika Syarikat.

Berdasarkan undang-undang penerbangan antarabangsa, Iran mempunyai hak untuk mengetuai siasatan.

Beberapa negara juga dilaporkan sedia menawarkan kepakaran untuk menganalisis kotak hitam berkenaan.

Selain itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat juga mempunyai peranan dalam siasatan antarabangsa termasuk pesawat Boeing ciptaan negara itu.

Bagaimanapun, sebarang tindakan dilakukan lembaga berkenaan perlu melalui kebenaran dan selaras undang-undang negara berkaitan.


Penerbangan PS752 milik Ukraine International Airlines itu terhempas selepas beberapa minit berlepas ke Kyiv dari Lapangan Terbang Tehran.

Kesemua 176 penumpang dan anak kapal termasuk 82 rakyat Iran dan 63 warga Kanada terkorban.

BACA: Pesawat bawa hampir 180 penumpang terhempas di Iran

Nahas menyusul ketika berlakunya ketegangan memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran susulan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan udara AS berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Jumaat.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada sebarang penumpang rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas tersebut.

BACA: Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas pesawat Ukraine

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengesahkan bahawa 138 penumpang pesawat terbabit merupakan warga Kanada dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas.