Seorang imam terkenal dan kontroversi di Brest, Perancis dan seorang jemaah cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah masjid berfahaman Sunnah pada tengahari Khamis.

Lapor media tempatan, tembakan dilepaskan ketika jemaah sedang meninggalkan masjid berkenaan yang berada dalam kejiranan Pontanezen itu.

Imam yang dikenali sebagai Rachid Eljay dan seorang lagi mangsa kemudiannya digegaskan ke hospital dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Penembak terbabit yang melarikan diri kemudiannya ditemui mati pihak polis dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kenderaan jenis Renault Clio di Guipavas, sebuah bandar berhampiran.

Pemburuan suspek lain kemudiannya dihentikan setelah polis yakin pelaku bertindak sendirian.

Lapor akhbar tempatan, Le Telegramme, suspek telah mengakui bertanggungjawab diatas serangan itu menerusi satu muat naik di laman sosial Facebook.

Imam terbabit dikatakan mempunyai ramai pengikut.

Rachid yang juga dikenali sebagai Abou Houdeyfa dikatakan kerap menimbulkan kontroversi dengan kenyataannya 'panas' selepas memuat naik banyak rakaman video di atas talian dengan 68,000 pengikut.

Masjid terbabit walaupun pernah diserbu pihak berkuasa, namun masih dibenarkan beroperasi.