Sebut sahaja jenama Versace sudah pasti anda semua akan memikirkan rekaan-rekaan yang mewah dan penuh gaya.

Namun, label mewah Itali yang telah dibeli oleh Michael Kors Capri Holdings Ltd itu telah menerima kritikan hebat selepas tular satu gambar yang menunjukkan rekaan pada baju-T jenama itu melabelkan China, Hong Kong dan Macau sebagai negara yang berbeza.

Perkara itu menerima kritikan meluas di media sosial khususnya dalam kalangan pengguna di negara China.

Versace bagaimanapun telah mengeluarkan permohonan maaf atas kesilapan itu dan membuat kenyataan bahawa sejak 24 Julai lalu, pihaknya telah melupuskan baju-T tersebut.

Syarikat fesyen berasal dari Milan itu adalah entiti luar negara terbaharu yang menerima tamparan dari aspek ketepatan politik, memandangkan Hong Kong dan Macau yang dahulunya dua buah koloni Eropah kini sudah menjadi sebahagian daripada wilayah pentadbiran khas China.

Pengarah Kreatif jenama itu, Donatella Versace, menerusi akaun Instagramnya berkata: "Saya tidak pernah mahu mencabar kedaulatan negara China, dan sebab itulah saya secara peribadi ingin meminta maaf atas kesilapan itu hingga menyebabkan rasa kurang senang."