Kombinasi ikan dan pokok ganja di sebuah pusat penanaman di Kanada menghasilkan bekalan penting buat syarikat Green Relief Inc untuk tujuan perubatan.

Reuters melaporkan, langkah tersebut diambil untuk memastikan syarikat tersebut dapat menampung permintaan dan perkembangan global.

Di sebuah fasiliti bawah tanah di selatan Ontario, Green Relief menjalankan operasi ladang akuafonik, yang memanfaatkan saringan sisa buangan ikan untuk menyuburkan pokok-pokok ganja.

Secara kitaran, pokok-pokok itu pula membersihkan air untuk persekitaran ikan tersebut.

Syarikat itu merupakan satu-satunya pengeluar berlesen di dunia yang menghasilkan ganja perubatan dengan menggunakan kaedah penanaman bebas racun serangga seperti itu. Pusat penanaman itu juga dibina di dalam tanah di kawasan bukit.

Pokok ganja menerima khasiat daripada sisa buangan ikan, seterusnya akar pokok itu membersihkan air. - Reuters

“Inilah pertanian masa depan. Jika anda tidak memanfaatkan teknologi pertanian lestari hari ini, anda akan ketinggalan,” ujar Warren Bravo, yang mengasaskan syarikat itu bersama rakannya Steve LeBlanc pada 2013.

Sistem tertutup Green Relief yang pada satu masa menternak 6,000 ekor tilapia dan 4,500 batang pokok ganja, dapat menjimatkan 90 peratus air berbanding pertanian konvensional, selain menghasilkan kualiti tanaman yang 10 hingga 20 peratus lebih baik.

Setiap lima minggu, Green Relief mendermakan 300 ekor tilapia bersaiz matang daripada satu tangki ikannya, kepada badan kebajikan yang menerima dan menguruskan makanan.

Setiap lima minggu, 300 ikan tilapia daripada satu tangki akan didermakan kepada badan kebajikan. - Reuters

Syarikat itu sedang berunding dengan beberapa rakan bisnes lain termasuk dari beberapa buah negara dalam usaha mengembangkan operasi berkenaan, yang menjanjikan pulangan bernilai jutaan dolar.

"Kanada kini dalam kedudukan terbaik. Kita meletak sasaran untuk menjadi perintis dalam industri baharu,” ujar Bravo.



BACA: Coca Cola tinjau prospek penghasilan minuman berperisa ganja

BACA: Thailand izinkan penggunaan ganja untuk perubatan

BACA: 'Tiada bukti ganja mampu rawat penyakit'

BACA:
PDRM tidak setuju penggunaan ganja untuk tujuan perubatan