Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menghantar dua pasukan pembedahan, pakar dan bekalan perubatan tambahan ke Gaza bagi memenuhi peningkatan keperluan rawatan di negara itu, susulan semakin ramai penduduk terjejas akibat keganasan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, ICRC berkata bantuan selama enam bulan itu akan membantu perkhidmatan rawatan jangka panjang di Gaza.

"ICRC menghantar pakar bedah tambahan, jururawat, pakar fisioterapi, ubat-ubatan dan peralatan.

"Ribuan penduduk Gaza berdepan krisis kesihatan dan ia memerlukan rawatan jangka panjang memandangan sistem kesihatan sedia ada tidak berupaya untuk menanganinya," tambah kenyataan itu.

Pengarah operasi ICRC bagi wilayah Timur Tengah, Robert Mardini berkata, tambahan tenaga pakar dan kelengkapan perubatan membantu mempercepatkan pemulihan jangka panjang selain meringankan beban serta tekanan dihadapi.

Sejak bantahan dan keganasan meletus pada 30 Mac, lebih 13,000 orang Palestin cedera termasuk 3,600 orang daripanya akibat terkena peluru hidup.

Kepulan asap kelihatan berdekatan sempadan Israel-Gaza pada 29 Mei lalu. - REUTERS
Keutamaan ICRC adalah membantu mangsa yang cedera akibat tembakan.

Kira-kira 1,350 mangsa yang setiap daripadanya perlu menjalani antara tiga hingga lima pembedahan, menjadikan jumlah keseluruhan 4,000 pembedahan terpaksa dijalankan, separuh daripadanya akan dilakukan pasukan ICRC.

Kekurangan ubat-ubatan, peralatan, dan ketiadaan bekalan elektrik menjadikan keadaan bertambah sukar.

Inisiatif ICRC, merangkumi pembukaan 50 buah katil untuk unit pembedahan, yang merupakan sebahagian daripada tambahan peruntukan bernilai US$5.3 juta untuk Gaza.

Pasukan pembedahan ICRC dan pakar perubatan akan ditempatkan di Al-Shifa Hospital, hospital terbesar di Gaza.

Hospitallain di Gaza dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin turut mendapat manfaat daripada bantuan tersebut. -- Bernama