Seorang ibu panik apabila anak lelakinya terjatuh di ruang di antara platform dan pintu gerabak di stesen kereta api Sydney, Australia, pada Selasa.

Sebelum kejadian, kanak-kanak itu sedang menunggu kereta api bersama ibu dan adiknya yang duduk di dalam kereta sorong bayi.

Sebaik kereta api berhenti, ibu mangsa sedang menolak kereta sorong ke dalam kereta api manakala kanak-kanak itu berjalan sendirian sebelum terjatuh ke dalam ruang di antara platform dan gerabak.




Lapor Reuters, ibu mangsa masih terkejut dengan apa yang menimpa anaknya dan enggan memberi sebarang ulasan.

Melalui satu rakaman video di Twitter, seorang lelaki kelihatan berlari ke arah lokasi kejadian sebelum menarik naik kanak-kanak itu.

Kanak-kanak berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana ketika kejadian, kereta api itu masih lagi belum bergerak.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sydney Trains, lebih 178 kemalangan berlaku di stesen kereta api terutamanya di stesen yang sibuk dan terletak di tengah-tengah bandar.

“Pesanan penting di sini ialah jangan berlari atau berebut ketika berada di stesen atau plaftorm,” jelasnya.

“Perkara mudah seperti memimpin tangan anak anda semasa di stesen boleh mencegah perkara ini daripada berlaku,” kata Menteri Pengangkutan New South Wales, Andrew Constance, dalam satu kenyataan.

Pada tahun 2010, seorang bayi berusia 15 bulan cedera ringan selepas kereta sorongnya dirempuh kereta api menyebabkan ia berpusing dan hampir tercampak ke landasan.