Situasi kebakaran hutan di utara Ukraine membimbangkan apabila dikatakan semakin menghampiri loji nuklear tinggalan di wilayah Chernobyl. Ini boleh membawa kepada risiko radiasi berbahaya kepada persekitaran.

Menurut sebuah laporan, kebakaran ini dipercayai mula merebak sejak 4 April lalu apabila seorang warga tempatan mula membakar rumput di keliling persekitaran “zon pengecualian” Chernobyl yang berukuran 2,600 kilometer persegi.

Polis telah menahan individu berusia 27 tahun yang didapati mencetuskan kebakaran tersebut. Namun alasannya masih belum diketahui.

Lebih 310 ahli bomba telah hadir bagi memadam api di kawasan yang terjejas, diikuti enam buah helikopter serta beberapa buah pesawat dalam usaha menyegerakan proses pemadaman api sebelum hadir ke lokasi tinggalan nuklear itu.

Walaubagaimanapun, usaha mereka terhambat oleh angin kencang, yang kini bertiup menuju ibu kota negara itu, Kiev yang terletak sejauh 100 kilometer ke selatan zon pengecualian.

Selain itu, ahli bomba yang terlibat dalam pemadaman api ini juga berisiko terdedah kepada zarah radioaktif yang terhasil dari permukaan hutan itu.

Organisasi Greenpeace di Rusia turut melaporkan kebakaran kali ini jauh lebih besar berbanding jangkaan pihak berkuasa di Ukraine.

"Imej satelit yang diambil pada Isnin oleh NASA Worldview menunjukkan luas kebakaran terbesar telah mencecah jarak 344 kilometer persegi," tambah Greenpeace.

Menurut operator pelancongan Yaroslav Emelianenko, sekiranya kebakaran ini melepasi bandar Pripyat, ia akan mengakibatkan kemerosotan ekonomi memandangkan pelancong seliaan mampu mendatangkan keuntungan yang tinggi dalam sektor pelancongan di Ukraine.

Bandar Pripyat merupakan lokasi penempatan pekerja di loji nuklear itu sehingga tahun 1986 apabila satu bencana letupan dan kebakaran melepaskan sejumlah besar bahan pencemar radioaktif ke dalam atmosfera lalu tersebar di sebahagian besar benua Eropah.

“Pihak berkuasa tempatan melaporkan keadaan sedang terkawal, namun hakikatnya kebakaran itu sedang menghampiri wilayah-wilayah lain,” menurut Emelianenko apabila menggambarkan situasi semasa di laman Facebook.