Tindakan Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya Britain dan Perancis melancarkan serangan udara ke atas Syria pada awal Sabtu, disifatkan sebagai campur tangan kuasa Barat terhadap rejim Bashar al Assad dan konco-konconya.

Operasi dilancar seminggu selepas serangan senjata kimia yang meragut hampir 100 nyawa termasuk kanak-kanak di Douma, Timur Ghoutah.

Menurut TRT World, serangan berterusan selama 45 minit itu dibuat ketika Presiden AS Donald Trump membuat pengumuman dari White House.

Dalam siaran berkenaan, Trump mengarahkan serangan tepat dibuat ke atas lokasi yang didakwa menempatkan senjata kimia rejim Bashar.

Menurut agensi berita itu, bunyi letupan kedengaran di ibu negara Syria, Damsyik.

Trump berkata, gabungan operasi dengan Britain dan Perancis akan berterusan sehingga Damsyik berhenti menggunakan senjata itu.

Mengulas mengenai pembabitannya, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menjelaskan operasi udara dilakukan secara terbatas iaitu membabitkan sasaran yang menjadi lokasi yang menghasilkan senjata kimia.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata operasi dilakukan bukan untuk campur tangan dengan perang saudara di negara itu atau menukar kerajaan.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru, Rusia menyamakan Trump sama seperti Adolf Hitler.

"Trump bukan setakat melakukan jenayah di seluruh dunia, dia adalah Hitler nombor dua," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan Duma, Alexender Sherin.

Sementara itu Syria dan sekutunya Rusia menyifatkan tuduhan penggunaan senjata kimia dalam serangan ke atas orang awam di Douma sebagai rekaan.

Ia selari dengan kenyataan Duta Moscow ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Vassily Nebenzia yang menyifatkan pembunuhan itu sebagai berita palsu.

Beliau berkata, negara anggota tetap Majlis Keselamatan iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Perancis telah menggunakan retorik melampau dan biadab dalam memerangi negara Syria.