TIDAK ubah seperti taufan membadai, remaja Sweden Greta Thunberg pulang ke Sweden setelah menamatkan jelajah benua empat bulan lamanya dalam usaha menyelamat dunia.

Sebagaimana kesan ribut yang menggegar dan mampu meranap bangunan yang tegap, Greta pulang meninggalkan kesan tak ubah tsunami.

Pada Isnin, Greta pulang ke Sweden naik kereta api dari Turin, Itali menggunakan perkhidmatan syarikat pengangkutan Deutsche Bahn (DB).

Greta berada di Turin sejak Jumaat selepas menghadiri COP25 di Madrid, Sepanyol setibanya dari New York mengharung Lautan Pasifik selama hampir tiga minggu.

Keadaan bersesak dalam kereta api menarik perhatian pengikut Greta setelah remaja Sweden itu memaparkan imej sedang duduk atas lantai sewaktu dalam perjalanan melalui negara Jerman.

Melalui twitter Greta mengumumkan; “Dalam perjalanan dalam kereta api sesak melalui Jerman. Akhirnya saya dalam perjalanan pulang!”

Tindakannya menyebabkan DB – operator keretapi terbabit membalas dengan sindiran agar Greta memberi sedikit pujian kerana kereta api yang sedang dinaikinya seratus peratus mesra alam. Tambah DB, Greta akhirnya diberi tempat duduk di Kelas 1 bermula dari Frankfurt hingga penghujung perjalanan.

Balas-membalas berterusan – mengikut Greta, kereta api yang berasal dari Basel, Switzerland dihadkan perkhidmatan menyebabkan kesesakan. Hanya selepas tiba di kota Goettingen barulah Greta dapat tempat duduk. Ini mengikutnya bukan satu masalah dan jauh sekali dari mengadu kerana tempat duduk yang penuh membuktikan permintaan yang tinggi.

Namun reaksi dari pengguna kereta api kendalian DB menunjukkan ramai yang menyokong Greta kerana mereka sudah lali dengan pelbagai masalah yang dihadapi pengguna kereta api Jerman.

Di Turin, Greta menghadiri rapat umum dan berucap di acara Fridays For Future yang kini mempunyai ramai penyokong kalangan remaja Itali.

Ucapan Greta menimbulkan kontroversi disebabkan cadangannya membariskan pemimpin yang tidak bersungguh-sungguh menyelamatkan alam sekitar, membelakangkan dinding.

Ada reaksi yang menuduh Greta seolah-olah mendorong tindakan keganasan. Membalas, Greta menjelaskan ungkapan yang digunakan itu biasa digunakan di Sweden dan bermaksud membuka mata terhadap pihak berkuasa untuk bertindak dengar wajar.

Kesungguhan Greta menyelamatkan dunia menerima pengiktirafan apabila Time Magazine menobatnya sebagai `Time Magazine Person of the Year’.

Anugerah ini dan ucapan Greta di majlis COP25 mendorong Donald Trump untuk memberi nasihat-yang-tidak-diundang. Presiden Amerika itu menasihatkan Greta agar tidak terlalu keterlaluan dalam usaha menyelamatkan dunia.

Namun tindakan itu dibalas Obama – Michelle, bekas wanita pertama Amerika dan isteri Presiden Barack Obama – yang memberi sokongan kepada Greta dengan tweet, “Jangan biar sesiapa malapkan cahaya kamu.”