Seorang lelaki di Jepun menimbulkan kekecohan ramai malah 'melumpuhkan' operasi perkhidmatan kereta api laju apabila dia nekad melompat keluar dari gerabak pengangkutan umum itu, hanya kerana dia tersalah naik.

Dalam insiden yang terjadi di Stesen Shin-Osaka pada Ahad lalu itu, lelaki berusia 54 tahun itu pada mulanya tergesa-gesa hendak menaiki kereta api, yang hendak berlepas.

Destinasi yang hendak dituju adalah Stesen Tokyo di sebelah timur, tanpa menyedari dia sudah memasuki kereta api yang menuju ke Stesen Hakata, Kyushu di sebelah Barat.

Lazimnya orang yang berdepan situasi demikian perlu menunggu ke hentian seterusnya sebelum berpatah balik, namun oleh kerana tidak berfikir panjang, lelaki itu melakukan sesuatu yang tidak diduga.

Dia telah menarik selak khas untuk mengaktifkan isyarat kes kecemasan. Itu membuatkan kereta api laju itu membrek secara berkadar dan bergerak lebih perlahan. Dia kemudiannya membuka pintu gerabak dan melompat keluar meskipun kereta api itu belum berhenti sepenuhnya.

Ternyata tindakan itu memberikannya nasib yang lebih buruk. Dia mengalami kecederaan parah pada kakinya akibat perbuatan itu.

Insiden tersebut menyebabkan perkhidmatan pengangkutan itu terpaksa dihentikan selama 45 minit. Pengendali perkhidmatan juga telah memadamkan kuasa elektrik di kedua-dua arah landasan kereta api, atas sebab-sebab prosedur keselamatan.

Perkhidmatan bagi 25 buah kereta api lain yang dinaiki kira-kira 14,000 penumpang juga tergendala akibat insiden berkenaan.

Lelaki itu bagaimanapun telah ditahan pihak berkuasa West Japan Railway yang membawanya kembali ke dalam pengangkutan itu, sebelum dibawa keluar di stesen berikutnya di Shin-Kobe. Di situ dia diserahkan kepada pihak polis yang sudahpun menunggu untuk menahannya.

"Saya memang tergesa-gesa hendak naik ke dalam kereta api, dan kemudian barulah saya sedar itu kereta api yang bukan menuju ke destinasi saya," kata lelaki itu seperti yang dipetik daripada portal Japan Today.