Peningkatan bilangan pengunjung ke sebuah kuil usang di daerah Phra Nakhon Si Ayutthaya kerana mahu melihat sendiri keindahan lokasi penggambaran sebuah drama popular Thailand, mencetuskan kebimbangan pihak pengurusan tapak bersejarah tersebut.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, kuil bernama Wat Chai Wattanaram itu dibanjiri pengunjung gara-gara populariti siri televisyen bertema fantasi sejarah, Buppaesannivas (Love Destiny).

Ribuan orang datang ke lokasi itu setiap hari, siap dengan pakaian tradisional Thailand, untuk bergambar seperti watak-watak yang mereka sukai dalam siri drama tersebut.

Populariti drama bertema fantasi sejarah ini membuatkan ramai orang ingin tahu tentang lokasi latar penggambarannya di Ayutthaya. - Foto: Media sosial

Akibatnya, tapak bersejarah yang berusia 388 tahun itu kini dalam risiko, terutamanya pada struktur batu di sekitar kawasan berkenaan.

Jambatan binaan kayu dan besi berusia dua dekad yang menghubungkan tempat letak kenderaan dan kuil juga sudah terjejas.

Selain pernah dilanda banjir teruk pada tahun 2011, susunan batu lama pada tangga dan lantai kuil juga kini mudah terkopak memandangkan tempat itu kini didatangi sekitar 10,000 pelawat pada hujung minggu, kata Pengarah Taman Sejarah Ayutthaya, Sukanya Baonerd.

Tambahnya, para petugas taman baru saja memperbaiki jambatan itu malah menambah tiang sokongan di bahagian tengahnya.

Pengunjung juga didapati merosakkan struktur batu di kuil itu hanya kerana mahu mencari sudut terbaik untuk mengambil gambar. Mereka sering berdiri di tebing tembok, yang tidak sepatutnya mereka pijak.

“Susunan batu usang sudah banyak yang tertanggal. Para petugas akan segera membaikinya,” ujarnya.

Sukanya meminta pengunjung supaya sentiasa patuh pada papan tanda peringatan dan hanya berjalan di laluan yang dibenarkan.

GALERI FOTO: Thailand dilanda 'demam' busana tradisi