SURUHANJAYA Eropah bersetuju dengan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson bahawa rundingan Brexit memerlukan momentum baharu.

Ini susulan keputusan rasmi UK untuk tidak memohon lanjutan tempoh peralihan dari Kesatuan Eropah (EU).

Sehubungan itu, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von Der Leyen berkata, tempoh peralihan Brexit akan tamat pada 31 Disember depan.

“Kami menyokong pelan yang dipersetujui ketua perunding untuk meningkatkan rundingan pada Julai dan mewujudkan keadaan paling kondusif untuk memuktamadkan rundingan menjelang hujung 2020.

“Ini wajar melibatkan usaha mencari persetujuan bersama seawal yang boleh. Kami menggariskan hasrat untuk bekerja keras dan menjayakan hubungan yang akan memanfaatkan kepentingan rakyat, Kesatuan dan United Kingdom.

“Kami juga mengulangi komitmen untuk melaksanakan perjanjian pengunduran itu mengikut jadual,” katanya ketika bercakap di Brussels, Belgium, pada Isnin.

EU dan UK kini masih lagi berunding mengenai perjanjian perdagangan bebas susulan pengunduran negara itu dari blok berkenaan.

Bagaimanapun, banyak isu kekal menjadi pertikaian.



Sementara itu, Johnson menegaskan, tidak mustahil untuk mencapai satu perjanjian dengan EU menjelang Julai.

“Kita tidak boleh mengikut undang-undang EU, saya fikir rakyat memahaminya. Kita tidak boleh meninggalkan EU dan masih kekal dikawal oleh undang-undangnya.

“Ia tidak akan berjaya. Tetapi ada perjanjian baik yang boleh dilaksanakan. Sudah pasti saya tidak mahu melihat perjanjian ini memakan masa sehingga musim luruh, musim sejuk. Saya tidak melihatnya begitu. jadi kita perlu jayakannya,” katanya.

Johnson turut mengulangi harapan untuk perjanjian peralihan yang lancar.

Awal bulan lalu, Ketua Perunding EU, Michel Barnier mengulangi keyakinan kedua-dua pihak akan berjaya memuktamadkan perjanjian.

Bagaimanapun, masih ada beberapa isu yang menjadi pertikaian.

Susulan satu mesyuarat antara Johnson, von der Leyen, Presiden Majlis EU Charles Michel dan Presiden Parlimen EU David Sassoli pada Isnin, para pemimpin itu berkata dalam satu kenyataan bersama, rundingan perlu ditingkatkan bagi mewujudkan keadaan paling kondusif untuk memuktamadkan satu perjanjian sebelum hujung 2020.