Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dan rakan sejawat beliau dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Ahad membincangkan isu Syria dalam satu perbualan telefon susulan pengunduran tentera darat AS dari Syria, lapor Bernama, memetik agensi berita China Xinhua.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Erdogan, kedua-dua pemimpin bersetuju memastikan koordinasi diplomatik dan ketenteraan bagi mencegah kekosongan dari segi kewujudan pihak berkuasa, susulan pengunduran AS dari Syria.

Erdogan turut melahirkan rasa puas hati dengan langkah yang diambil Washington dalam isu memerangi keganasan di Syria, dan berkata Turki bersedia menghulurkan sebarang bantuan.

Katanya dalam akaun Twitter selepas rundingan itu, kedua-dua mereka bersetuju mempertingkat koordinasi dalam pelbagai isu, termasuk hubungan perdagangan dan perkembangan di Syria.

Pada 19 Dis, Washington mengumumkan untuk mengundurkan tenteranya dari Syria selepas mendakwa meraih kemenangan dalam perjuangan menentang kumpulan militan Daesh tanpa mendedahkan sebarang butiran terperinci.

Susulan langkah AS itu, Erdogan pada Jumaat berkata Turki telah memutuskan untuk menangguhkan operasi rentas sempadannya di kawasan yang dikuasai militia Kurdish di utara Syria.