Seorang bayi merupakan antara 14 mangsa empangan runtuh di Laos yang berjaya diselamatkan pasukan sukarelawan Thailand di Wilayah Apptue.

Bayi lelaki berkenaan yang berusia empat bulan dilihat berada dalam keadaan ketakutan dan kelaparan ketika diselamatkan.

Video rakaman itu juga tular menunjukkan mangsa didukung dengan berhati-hati meredah banjir dan lumpur setinggi paras pinggang.

Usaha menyelamat kini disertai negara luar yang terdesak menyelamatkan mangsa dalam nahas yang mengakibatkan puluhan orang mati dan ratusan lagi hilang.

Insiden empangan hidroelektrik runtuh menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal selepas air dari empangan berkenaan menenggelami jelapang padi dan perkampungan berhampiran.

Di Sanamxai, kawasan paling teruk terjejas, pasukan penyelamat juga terpaksa menggunakan bot dan helikopter di selepas laluan utama dan jambatan musnah.

Beberapa sekolah di kawasan selamat digunakan sebagai pusat pemindahan dan kira-kira 1,300 keluarga memerlukan khemah sebagai tempat berlindung.