Presiden Rodrigo Duterte pada Khamis meluluskan undang-undang yang membenarkan minoriti Islam di selatan negara itu melangkah ke arah pemerintahan sendiri pada 2022.

Dikenali sebagai Undang-Undang Organik Bangsamoro (BOL), ia akan memberikan kuasa autonomi yang luas ke atas pulau di sekitar Mindanao di mana ramai penduduk Islam tinggal.

Undang-undang itu telah diluluskan Dewan Perwakilan dan diserahkan kepada Duterte untuk ditandatangani.

Ia turut mendapat sokongan penduduk, sekali gus menyukarkan pelampau asing membentuk pakatan dan mendapat sokongan.

Pengerusi pergerakan pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Ebrahim Murad, berkata beliau yakin undang-undang itu akan membawa membawa kumpulan serpihan pemisah kembali ke arena politik dan menghapuskan prospek sebarang insiden seperti di Marawi.

"Semua kumpulan serpihan adalah hasil kekecewaan dengan proses damai.

"Sebaik kumpulan kecil tidak lagi menerima elemen luar, mereka tidak dapat datang lagi ke Filipina," katanya.

Kawasan Bangsamoro termasuk sebahagian Mindanao, pulau kedua terbesar negara itu, dan rangkaian puluhan kepulauan kecil ke barat yang dipenuhi aktiviti lanun dan samseng.

Dianggarkan lima juta penduduk Islam berada di wilayah itu.

Lampu hijau itu adalah kemuncak Perjanjian Damai Komprehensif Bangsamoro yang ditandatangani pada 27 Mac, 2014, antara MILF dan pemerintahan Filipina, selepas pemberontakan terhadap pemerintah pusat selama kira-kira 40 tahun yang mengorbankan banyak nyawa. - Agensi