Kerajaan baharu Quebec yakin mampu mengurangkan hutang pada kadar signifikan dalam tempoh dua tahun.

Ia akan dilakukan melalui pembayaran AS$7.6 bilion untuk membayar hutang berbanding tempoh lima tahun yang disasarkan kerajaan Liberal sebelum ini.

Menurut laporan Reuters, Quebec yang merupakah wilayah di timur Kanada, turut menyasarkan lebihan dalam pendapatan negara bagi 2018 dan 2019 sebanyak AS$1.3 bilion.

Strategi baharu itu diumum kerajaan baharu yang mengalahkan kerajaan Liberal Oktober lalu.

Kerajaan Liberal sebelum ini hanya menyasarkan bajet berimbang dengan lebihan bajet yang sederhana.

Rancangan terbaharu kerajaan Quebec itu dijangka mengurangkan hutang kasar dari 48.2 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 45 peratus menjelang 2021.

“Ini langkah pembayaran balik hutang yang tidak pernah dilakukan kerajaan Quebec sebelum ini,” kata Menteri Kewangannya, Eric Girard.

Parti CAQ mengambilalih tampuk kepimpinan wilayah majoriti berbahasa Perancis itu pada Oktober selepas berjanji mengurangkan cukai dan pendatang, serta membantu golongan berkeluarga.

Selain itu, dasar kerajaan Liberal sebelum ini yang bersifat mesra pelabur demi bajet berimbang dan mengurangkan hutang, akan diteruskan.