Ketua Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson mengumumkan beliau bakal berundur secara rasminya hujung bulan ini.

Ia susulan pengumuman pemecatannya oleh Presiden, Donald Trump menerusi Twitter, pada Selasa.

Tillerson bakal digantikan dengan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.

BACA: Trump pecat Ketua Setiausaha Negara Rex Tillerson, umum Mike Pompeo pengganti

Berucap kepada media beberapa jam selepas pengumuman berkenaan, Tillerson berkata dia akan menyerahkan tugasnya sementara waktu kepada Timbalannya, John Sullivan.

Tillerson juga berharap proses peralihan kuasa yang lancar berlaku sementara menunggu pengesahan oleh Senat.

"Saya ada menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat sekitar tengah hari tadi dari Air Force One. Apa yang paling penting sekarang adalah memastikan proses peralihan tugas yang lancar dan teratur ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk isu keselamatan."

"Saya akan menyerah tugas sementara waktu kepada Timbalan Setiausa Negara, Sullivan. Mandat saya sebagai Setiausaha Negara akan tamat tepat pada tengah malam 31 Mac," katanya kepada pemberita.

Pemecatan Tillerson mengakhiri ketegangan berbulan-bulan antara Presiden Trump dan bekas Ketua Eksekutif Exxon Mobil yang berusia 65 tahun itu.

Sebelum ini, Trump dan Tillerson kerap bercanggah pendapat dalam banyak polisi negara termasuk berhubung perjanjian nuklear Iran.

Tillerson sempat merakam penghargaan kepada semua pegawai di jabatannya dan mengumumkan beliau akan kembali menjadi rakyat biasa.

"Saya sekarang akan kembali ke kehidupan peribadi sebagai warganegara biasa. Saya berbangga dengan peluang yang diberi untuk berkhidmat demi negara saya. Semoga Tuhan memberkati kamu semua. Semoga Tuhan memberkati Amerika."