Seorang bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada ahli keluarga, terutamanya anak-anak.

Namun tindakan sebaliknya berlaku Thailand apabila seorang bapa sanggup menjual dua anak gadisnya kepada seorang warga emas demi mendapatkan ganja.

Memetik agensi berita antarabangsa, dua beradik malang berusia 13 dan 14 tahun itu dipaksa bapanya untuk mengadakan hubungan seks dengan lelaki tua berusia 65 tahun dalam kejadian di daerah Huai Kwang, Bangkok.

Mujur dua beradik itu berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa penderaan seksual bapanya selepas seorang peguam bela hak dan kebajikan kanak-kanak berkongsi kisah tragis yang menimpa dua gadis berkenaan di laman sosial.

Polis kemudiannya mengunjungi rumah mangsa di daerah Bang Kapi sebelum bertindak menyelamatkan dua remaja berkenaan.

Mereka diletakkan di bawah penjagaan sementara Kementerian Pembangunan Sosial dan Kemanusiaan sementara menunggu siasatan.

Dua gadis yang tidak dikenali itu dilaporkan tinggal bersama bapanya yang berusia 62 tahun.

Selepas diselamatkan, mereka dibawa untuk menjalani pemeriksaan fizikal di Hospital Umum Polis.

Polis akan menyoal siasat pemimpin masyarakat dan jiran mangsa bagi mendapatkan keterangan berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, sumber ATPD memaklumkan pihak berkuasa telah mengesan suspek berusia 65 tahun yang tinggal dalam komuniti sama.

Difahamkan mangsa berusia 14 tahun telah memberikan keterangan kepada polis dan kakitangan sosial.

Dia mengaku bapanya telah menyerahkan mereka kepada suspek untuk tujuan dirogol sebagai pertukaran untuk mendapatkan ganja.

Setakat ini, siasatan sedang dijalankan dan polis berusaha mengumpul bukti bagi mendapatkan waran tangkap terhadap suspek.