Sekiranya perjanjian untuk berpisah dengan Kesatuan Eropah - Brexit diluluskan dalam percubaannya yang ketiga, Theresa May berjanji untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Britain.

Lapor Reuters, ini merupakan ikhtiar terakhir May untuk memujuk ahli parlimen untuk memberikan sokongan selepas dua kali usahanya untuk mendapatkan sokongan ditolak dengan majoriti besar.

Kerajaan dijangka membawa perjanjian yang diusulkan May ke Parlimen pada hari Jumaat, tetapi Speaker John Bercow mengulangi amaran yang dia tidak akan mengizinkan pengundian ketiga untuk dilakukan melainkan adanya perubahan yang ketara pada usul yang bakal dibawa.

May sebelum ini berjanji untuk melepaskan jawatan sebelum pilihan raya pada 2022, tetapi dengan perkembangan terbaharu ini diharap dapat meningkatkan peluang usul Brexit yang dibawanya dapat dipersetujui.

12 Mac lalu, cadangan May berkenaan Brexit tewas dengan 149 undi dan sebelum itu kalah dengan 230 pada 15 Januari.

Britain sepatutnya meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 29 Mac tetapi EU bersetuju untuk memberi penangguhan sehingga 12 April.

Ketidaktentuan dalam politik dan ekonomi ini telah menyebabkan pelabur teragak-agak mengenai masa depan di Britain.