Dari poster lama hingga helmet, barangan Star Wars kini sedia untuk dilelong secara atas talian, menjelang beberapa hari penayangan filem sains fiksyen terbaharunya yang kini memasuki edisi kesembilan.

Lapor Reuters, laman sesawang Star Wars Online dikhabarkan mempunyai lebih daripada 100 item dari set penggambaran filem aksi futuristik itu sejak beberapa dekad lalu.

Kesemuanya dianggarkan bakal dijual pada harga antara 100 hingga 60,000 pound, menurut rumah lelongan Sotheby's.

Antara yang menjadi rebutan dalam lelongan itu adalah helmet Imperial Stormtrooper yang digunakan semasa penggambaran pada tahun 1976.

Ia dianggarkan bernilai kira-kira £30,000 (RM164,000) hingga £60,000 (RM328,000).

Selain itu, turut menjadi perhatian adalah satu paparan kedai permainan The Empire Strikes Back dan kapal Millennium Falcon yang dianggarkan bernilai kira-kira £10,000 (RM54,655).

Bukan itu sahaja, poster filem pertama filem Star Wars berjudul A New Hope yang ditandatangani oleh pelakon Mark Hamill turut dilelong pada harga sehingga £8000 (RM43,724)

Menurut Sotheby's, kesemua koleksi edisi terhad ini mengambil masa lebih setahun untuk dikumpulkan dari seluruh pelosok dunia.

Antara yang dikumpulkan adalah prop penggambaran, permainan, hasil seni, lukisan, poster asal filem berkenaan serta banyak lagi.

Jualan berkenaan telah bermula sejak minggu lalu dan akan berterusan sehingga 13 Disember ini.

Filem Star Wars terbaharu iaitu The Rise of Skywalker dijangka akan ditayangkan di pawagam pada 18 Disember ini.