MENTERI Koordinator Bidang Politik Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto berkata, kerajaan sudah mengenal pasti dalang di sebalik rusuhan yang tercetus di sekitar bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jakarta pada Selasa.

Sehubungan itu, Wiranto berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas bagi memastikan keamanan terpelihara.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan, pihak kami sudah tahu dalang aksi rusuhan," kata Wiranto dalam pertemuan dengan wartawan di pejabatnya pada Rabu.

Wiranto juga berkata, berdasarkan rangkaian peristiwa sehingga tercetus kekecohan, pihaknya melihat ada kecenderungan untuk menjadikan rusuhan berkenaan di peringkat nasional.

Menurut beliau, perkembangan itu dapat dilihat berdasarkan kenyataan-kenyataan sebilangan pemimpin yang menyalahkan pihak berkuasa sehingga berlaku kematian.

Dalam masa sama, Wiranto juga menghidu ada usaha untuk meniup api kebencian kepada kerajaan.

Sedangkan, katanya, aksi keganasan yang berlaku dilakukan oleh kelompok lain selain daripada kumpulan pendemo iaitu terdiri daripada mereka yang diupah.

Sejak semalam, ketenangan di ibu negara Indonesia tercemar dengan tindakan rusuhan pasca Pemilihan Presiden (Pilpres) 2019 susulan pengumuman keputusan pilihan raya oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU).

KPU mengumumkan pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Ma'aruf Amin menang dalam Pilpres menewaskan pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Pengumuman kemenangan Jokowi pada Selasa sehari lebih awal dari yang dijadualkan selepas proses pengiraan undi di 813,350 pusat pengundian selesai jam 11.30 malam Isnin lalu.

Ekoran rusuhan itu, enam orang disahkan maut manakala 200 lagi cedera akibat ketegangan yang melanda di ibu kota Jakarta.

Polis Indonesia terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang dilapor bertindak ganas termasuk membaling mercun ke arah anggota polis.

Lebih 50,000 anggota polis dan tentera dikerahkan ke kawasan terjejas bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

BACA: Susulan rusuhan, rakyat Malaysia di Jakarta dinasihat elak kawasan ini