Vietnam kembali meningkatkan tahap amaran tertinggi pada Sabtu selepas pegawai perubatan pusat bandar Danang mengesan kes pertama COVID-19 di negara itu dalam tempoh tiga bulan.

Kementerian kesihatan negara itu memaklumkan seorang lelaki berusia 57 tahun dari Danang telah dijangkiti.

Media tempatan melaporkan lelaki itu berada dalam keadaan kritikal dan doktor pakar telah diterbangkan dari kota Ho Chi Minh ke Danang.

Pihak berkuasa menyatakan seramai 50 individu yang merupakan kontak rapat kepada pesakit itu telah dikuarantin, manakala 103 lagi individu disaring negatif virus itu.

Kerajaan tidak menyatakan bagaimana lelaki itu dijangkiti virus berkenaan, namun mengesahkan lelaki itu tinggal di Danang selama sebulan.

Dia dimasukkan ke wad kerana dipercayai mengalami radang paru-paru dan ujian saringan pada Sabtu mengesahkan dia terkena jangkitan COVID-19.

Vietnam telah melaksanakan sekatan yang ketat dan menjalankan ujian saringan yang agresif serta meluas ketika wabak itu melanda dan merekodkan hanya 417 kes COVID-19 dengan tiada kematian.

Negara itu berjaya mengekang penularan virus penyakit tersebut apabila tiada jangkitan tempatan direkod selama 100 hari hingga Jumaat.

Dilaporkan lebih 11,800 individu dikuarantin di seluruh negara termasuk 147 di hospital.