Vaksin yang berpotensi untuk COVID-19 yang dibangunkan di University of Oxford akan diuji ke atas manusia bermula Khamis ini.

Profesor di Pusat Vaksin Oxford, Andrew Pollard menjelaskan beberapa perkara akan menjadi persoalan ketika ujian ini dijalankan kelak.

“Ada dua soalan penting ketika ujian ini dijalankan. Pertama, apakah reaksi yang mungkin berlaku kepada vaksin ini?

"Kami tahu dengan vaksin seperti ini, ada yang akan demam dan sakit tangan. Kami juga ingin tahu sama ada ia akan menghalang COVID-19.

“Ini adalah sebab kenapa kita harus adakan ujian ke atas manusia. Kami berharap ia akan berjaya seperti yang diharapkan Setiausaha Kesihatan UK. Namun pada ketika ini kami masih belum menjalankan ujian.

“Kami harus mulakan ujian ini. Apabila virus baru ini mula menular, ada kajian di Oxford tentang MERS koronavirus dan satu vaksin sedang diuji ke atas manusia.

"Apabila kod genetik COVID-19 ini dijumpai pada Januari, kami mampu untuk melihat kembali kod genetik dan menghasilkan vaksin ini dengan pantas.

"Ia dibangunkan di makmal dan kemudian ke pusat pengeluaran di Oxford untuk membuat satu dos vaksin ini yang siap untuk diuji,” katanya.


Menurut Setiausaha Kesihatan UK, kerajaan turut menyumbang £20 juta (kira-kira RM110 juta) untuk pasukan berkenaan terus membangunkan vaksin tersebut.

Ketika ini, menurutnya, dua vaksin sedang dibangunkan di Oxford dan Imperial College.

Tambahnya, kedua-dua projek berkenaan sedang menunjukkan pembangunan yang pantas.

Pada waktu biasa, pembangunan vaksin mengambil masa bertahun. Namun, kerajaan UK akan melabur untuk menghasilkannya, dan jika disahkan selamat akan memastikan ia dapat digunakan di UK secepat mungkin.