PERDANA Menteri Britain Boris Johnson mengesahkan negara itu sedang berdepan dengan gelombang kedua jangkitan COVID-19.

Pengumuman yang dibuat pada Jumaat tersebut disusuli dengan sekatan baharu perintah kawalan pergerakan di seluruh negara itu.

"Kita telah lihatnya di Perancis, di Sepanyol, di seluruh Eropah. Pastinya, saya rasa, ia akan berlaku di negara ini.

"Jadi, pada Isnin, kita akan perkenalkan semula peraturan seperti sebelum ini, iaitu mengadakan sekatan, meletakkan had (perhimpunan), maksimum enam orang sahaja, baik di dalam rumah mahupun di luar rumah," kata Johnson.

Beliau berkata demikian ketika melawat sebuah pusat pengeluaran vaksin yang sedang dalam pembinaan berhampiran Oxford.


Menurutnya, sekatan tambahan juga kemungkinan dilaksanakan di beberapa sektor seperti perhotelan, pub dan restoran.

Ketika ini, Johnson berkata, mereka sedang mengawasi keadaan, sambil menambah, pihaknya tidak mahu melaksanakan perintah berkurung buat kali kedua.

Minggu ini, England melaksanakan larangan perjumpaan sosial tidak lebih daripada enam orang.

Negara lain di Britain seperti Scotland, Wales dan Ireland Utara telah mengumumkan tindakan serupa dalam perjumpaan sosial.