Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjangkakan lebih banyak kematian akibat COVID-19 akan berlaku di negara itu.

Dalam taklimat hariannya, Trump memberi amaran situasi lebih buruk akan berlaku jika negeri-negeri terus mengambil mudah serta tidak memberi fokus untuk menyediakan peralatan perubatan yang begitu kritikal dalam membendung COVID-19.

“Kami bekerja keras untuk mendapatkan peralatan tambahan kepada New York secepat mungkin.

"Kami seperti yang anda tahu, telah menyediakan hospital, termasuk kakitangan, 2,500 katil yang kami bina baru-baru ini di Pusat Persidangan Javits khususnya untuk pesakit COVID-19.

“Itu juga yang kami lakukan di Louisiana dan Dallas.

"Banyak yang telah kami lakukan, termasuk menyediakan hospital selepas banyak negeri yang tidak dapat berbuat demikian, termasuk kekurangan kakitangan.

"Ini situasi yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Trump juga menjangkakan negara itu akan dapat memulakan pemulihan akibat COVID-19 menjelang 1 Jun, lebih lama berbanding sasarannya pada pertengahan April ini.

Justeru, katanya, akan ada pengumuman penting pada Selasa mengenai perancangan dan strategi kerajaan masa hadapan.

Trump sebelum ini mengumumkan dia menjalani ujian COVID-19 kali kedua dan keputusannya negatif pada Khamis lalu susulan penularan wabak itu di White House.

Ini ujian kali kedua dilakukan Trump dengan menggunakan kaedah pantas yang hanya mengambil masa satu minit untuk dilengkapkan berbanding 15 minit untuk ujian normal.