SETELAH hampir 100 hari tanpa sebarang kes positif direkodkan, Vietnam kembali mencatatkan satu kes tempatan COVID-19 pada Sabtu.

Kes ke-416 itu melibatkan pesara berusia 57 tahun di Bandar Da Nang dan ia merupakan kes pertama sejak diisytiharkan bebas daripada wabak COVID-19, pada 16 April lalu.

Menurut pegawai kesihatan, pihaknya telah melakukan saringan terhadap 105 individu kontak rapatnya dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Lelaki itu didakwa membawa ibunya ke hospital sehari sebelum dia menunjukkan gejala penyakitnya.

Dia kini memerlukan sokongan ventilator kerana kegagalan pernafasan.

Pergerakan lelaki itu sebelum ini terbatas dan tidak pergi ke mana-mana walaupun ke bandar.

Vietnam sebelum ini dilihat berjaya menangani pandemik itu selepas melakukan proses kuarantin besar-besaran dan penjejakan kontak rapat secara meluas bagi mengekang penularan COVID-19.