Seorang remaja dari puak terpencil yang tinggal di hutan Amazon meninggal dunia selepas disahkan positif COVID-19.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan mengenai kesan wabak tersebut terhadap penduduk pribumi di rantau Amerika Selatan.

Remaja berusia 15 tahun, dari puak Yanomami, meninggal dunia Khamis lalu, menurut Kementerian Kesihatan Brazil.

Dia dirawat di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Boa Vista, ibu negeri Roraima, sejak 3 April. Pihak hospital bagaimanapun tidak mengesahkan COVID-19 sebagai penyebab kematiannya.

"Kami ada kes positif dalam kalangan suku kaum Yanomami, dan perkara ini membimbangkan," kata Menteri Kesihatan Brazil, Luiz Henrique Mandetta.

"Ada kemungkinan virus dibawa masuk ke dalam kelompok puak Yanomami menerusi kemasukan lebih 20,000 pelombong haram yang masuk tanpa kawalan," kata Institut Sosio-Alam Sekitar (ISA) dalam satu kenyataan.

Puak Yanomami tinggal di hutan hujan dan kawasan gunung di utara Brazil dan selatan Venezuela.

Puak Yanomami merupakan puak terpencil paling besar di Amerika Selatan, dengan anggaran 38,000 tinggal di hutan hujan dan kawasan gunung di utara Brazil dan selatan Venezuela.

Brazil telah mencatatkan lebih daripada 23,753 kes positif COVID-19 dan 1,355 kematian setakat ini.