Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan semakin sembuh dan telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di London akibat dijangkiti wabak COVID-19.

Menurut jurucakapnya Downing Street, Johnson bagaimanapun tidak dibenarkan kembali bertugas serta-merta meskipun disahkan semakin pulih selepas menjalani rawatan selama 10 hari di hospital itu.

"Atas nasihat pasukan perubatannya, Johnson tidak akan segera kembali bekerja. Beliau bagaimanapun cukup terhutang budi dan berterima kasih kepada semua kakitangan yang di Hospital St Thomas atas rawatan cemerlang yang diterimanya.

"Ingatan dan doanya adalah kepada mereka yang terjejas akibat penyakit COVID-19 ini,” jelas Downing Street.

Tunang pemimpin yang berusia 55 tahun itu, Carrie Symonds, yang kini sedang hamil membuat satu kenyataan di Twitter, dengan beri ucapan terima kasih kepada setiap orang yang menitipkan mesej mendoakan Boris.

"Terima kasih kepada setiap orang yang berkongsikan kata-kata semangat seperti ini. Hari ini saya berasa sangat bertuah.

"Saya telah mengharungi detik-detik yang gelap sebelum ini. Doa dan ingatakan saya adalah kepada semua yang melalui situasi seperti ini, yang mana berasakan bimbang terhadap orang yang kita sayangi.

"Kakitangan di Hospital St Thomas sangat luar biasa. Saya tidak akan pernah dapat membalas jasa anda dan saya tidak akan berhenti mengucapkan terima kasih."

Cik Symonds, yang dijangka bersalin dalam tempoh dua bulan, telah membuat pengasingan diri selepas memiliki gejala ringan tetapi masih belum menjalani saringan.