Pengunjung sebuah taman tema di Jepun diminta menjerit di dalam hati ketika menaiki roller-coaster bagi mengelak penyebaran COVID-19.

Pengendali taman tema Fuji-Q Highland membuat rayuan tersebut kerana bimbang penyebaran virus daripada titisan air liur ketika menjerit yang boleh meningkatkan penularan pandemik itu.

Memetik laporan UK News, taman tema yang dibuka semula bulan lalu itu mengambil langkah tersebut selepas mengikuti saranan persatuan taman tema.

"Bagaimanapun, para pelanggan tidak bersetuju dengan saranan itu kerana tidak mungkin mereka boleh kekal diam ketika menaiki roller-coaster Fujiyama.

"Roller-coaster sepanjang dua kilometer itu berupaya mencapai kelajuan 130 kilometer sejam sebelum turun serta-merta pada ketinggian 70 meter," kata laporan antarabangsa tersebut.


Bertindak balas terhadap rungutan itu, Fuji-Q Highland mengeluarkan sebuah video yang memaparkan dua eksekutif menaiki roller-coaster itu tanpa mengeluarkan suara bagi membuktikan langkah tersebut boleh dilakukan.

Video berdurasi empat minit lima saat itu menunjukan dua lelaki memakai pelitup muka dan berpakaian formal berjaya mengekalkan riak wajah yang serius sepanjang menaiki roller-coaster.

Video tersebut kemudiannya diakhiri dengan mesej yang menggesa pengunjung supaya "Tolong menjerit di dalam hati anda" dalam tulisan Jepun.

Jepun tidak terjejas teruk dengan penyebaran COVID-19 dan tidak melaksanakan penutupan yang ketat seperti negara lain, kecuali sektor perniagaan bukan utama.

Sebilangan besar perniagaan kini telah dibuka semula dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua pelanggan.