Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) berkata penumpang dari Zon Wabak Penyakit COVID-19 - China, Hong Kong, Macau, Korea Selatan, Iran dan Itali, perlu mengemukakan sijil kesihatan bagi mengesahkan mereka bebas daripada virus tersebut.

Dalam notis garis panduan bagi pengendali penerbangan berkaitan perkhidmatan yang akan disediakan di Zon Wabak Penyakit, CAAT berkata penumpang yang gagal mengemukakan dokumen tersebut dilarang menaiki penerbangan ke negara itu.

"Pengendali penerbangan perlu bertanggungjawab terhadap perbelanjaan dan kos rawatan jika menerbangkan penumpang yang dijangkiti COVID-19," menurut CAAT.

Pada 5 Mac, Thailand mengumumkan empat negara - China, Korea Selatan, Itali dan Iran - serta wilayah Macau dan Hong Kong ditakrifkan sebagai Zon Wabak Penyakit COVID-19.

CAAT berkata syarikat penerbangan akan melakukan saringan di lapangan terbang, zon berkenaan semasa pendaftaran masuk.

"Selepas berpuas hati dengan sijil kesihatan dan pas masuk diberikan kepada penumpang, syarikat penerbangan akan memberi Borang T8 yang dikeluarkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit 2015 dan penumpang dikehendaki mengisi borang tersebut serta menyerahkannya kepada pegawai kawalan penyakit berjangkit di pusat kawalan di lapangan terbang," menurut CAAT lagi.

Menurut CAAT, syarikat penerbangan mesti mematuhi sepenuhnya langkah-langkah pengawasan, pencegahan dan kawalan terhadap penyakit berjangkit berbahaya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam di bawah Akta Penyakit Berjangkit B.E 2558 (2015).

Sejak Januari, Thailand melaporkan lebih 50 kes COVID-19 dengan satu kematian. Sehingga kini 33 pesakit telah dibenarkan keluar hospital manakala 16 lagi masih menerima rawatan.

-- BERNAMA