BEKAS Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengkritik pemimpin negara itu yang mengambil mudah respon oleh rakyatnya susulan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Obama tidak menyatakan mana-mana nama pemimpin yang dimaksudkan dalam ucaptamanya kepada pelajar sekolah menengah yang tamat pengajian bagi tahun ini.

Pada masa sama, Obama menggesa agar anak muda agar sentiasa melakukan perkara yang dirasakan betul.

“Lakukan perkara yang anda merasakan ia betul. Lakukan perkara yang menggembirakan, menyenangkan - adalah cara kanak-kanak berfikir. Malangnya, ramai orang dewasa termasuk yang menyandang pelbagai jawatan penting masih berfikiran sebegitu - dan itu adalah sebab keadaan merumitkan.

“Saya berharap, anda membuat keputusan untuk diri sendiri termasuk berlaku jujur, kerja keras, bertanggungjawab, bersikap adil, baik hati dan menghormati orang lain. (Namun) Anda tidak akan dapat melakukannya dengan betul setiap masa, dan anda masih akan membuat silap.

“Tetapi jika anda memberi perhatian kepada apa yang benar, walaupun sukar dan tidak menyenangkan, orang lain akan melihatnya. Anda akan menarik perhatian mereka dan anda akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah mereka,” katanya dalam video ucaptama tersebut.

Selain itu, Obama turut menggesa agar anak muda tidak gentar dengan krisis yang berlaku ketika ini dan sentiasa berusaha untuk menjadi sebahagian daripada komuniti pelbagai.

Obama turut menasihatkan agar orang ramai meninggalkan cara berfikiran lama yang memisahkan rakyat negara itu seperti bersifat seksisme, sifat perkauman, tamak dan sebagainya.